Aidiladha, Gawai Cerminan Perpaduan Kukuh Masyarakat Sarawak
LIMBANG: Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai yang diraikan dalam suasana harmoni oleh masyarakat berbilang kaum di Sarawak terus menjadi lambang perpaduan, toleransi serta sikap saling menghormati yang menjadi kekuatan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, kepelbagaian perayaan yang disambut bersama oleh rakyat Sarawak membuktikan hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum dan agama yang sentiasa hidup dalam suasana aman serta saling memahami.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ibadah Korban di Dewan Kampung Belading, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, ibadah korban bukan sahaja merupakan tuntutan agama, malah menjadi wadah penting dalam memupuk nilai pengorbanan, keikhlasan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.
“Perayaan seperti Aidiladha dan Gawai memberi ruang kepada masyarakat untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai nilai kebersamaan yang menjadi asas keharmonian Sarawak,” katanya.
Pada majlis tersebut, Pusat Khidmat Batu Danau turut menyumbangkan lapan ekor kerbau kepada tujuh buah surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau serta Surau Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Menurut beliau, sumbangan berkenaan merupakan usaha berterusan untuk memperkukuh semangat perpaduan, kebersamaan dan kebajikan masyarakat setempat.
Pada kesempatan itu, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Bahagian Limbang dan Sarawak serta berharap sambutan tersebut terus menjadi medium mempererat ukhuwah dan keharmonian masyarakat.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada masyarakat Iban di DUN Batu Danau dan seluruh Sarawak.
Hadir sama, Ahli Majlis Daerah Limbang Kaunselor Mohd Hidayat Abdullah, Ketua Kampung Belading Matzin Sumil serta Imam 1 Surau Nurul Huda Kampung Belading Yajutin Ibrahim. -EDISI UKAS