KUCHING: Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak bakal dibina semula dengan kemudahan lebih lengkap bagi memperkasakan pembangunan generasi muda di negeri ini.
Premier Sarawak merangkap Ketua Pengakap Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek yang dianggarkan bernilai RM20 juta itu bukan sekadar pembinaan sebuah bangunan baharu, malah bertujuan mewujudkan ekosistem serta sokongan sosial untuk golongan muda.
Menurutnya, ibu pejabat yang kini digelar Bangunan Tun Openg juga akan dilengkapi dengan fasiliti baharu seperti hostel yang juga hotel untuk ahli-ahli pengakap seluruh Sarawak dan galeri khas memaparkan sejarah-sejarah pergerakan Pengakap di Sarawak.
"Apa yang saya mahukan ialah satu ekosistem dan sokongan sosial yang perlu kita berikan kepada golongan muda untuk masa depan mereka.
"Bangunan ini akan menjadi salah satu tonggak sokongan sosial supaya pergerakan pengakap dapat terus mendidik golongan muda dari sudut disiplin tanpa mengira latar belakang sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak di Batu Lintang, pada Sabtu.
Tambahnya, bangunan ini menjadi simbol kepada semangat kerjasama tersebut di mana penyediaan seperti hostel ini merupakan salah satu kemudahan untuk golongan muda menginap dan juga ruang untuk berbincang tentang masa depan bukan sahaja mengenai pengakap, tetapi juga masa depan komuniti di Sarawak.
Mengulas lanjut mengenai peruntukan, Premier Sarawak mengesyorkan untuk menambah dana tambahan kepada peruntukan asal sebanyak RM20 juta memandangkan terdapat penambahan komponen pada reka bentuk bangunan tersebut termasuk peningkatan kos bahan binaan.
Namun, beliau yang juga Ketua Pengakap Sarawak tidak mengumumkan peruntukan tambahan kerana memerlukan konsultasi daripada pihak arkitek bagi melihat kos yang diperlukan terutamanya penambahan unit baharu pada reka bentuk bangunan tersebut.
Untuk rekod, bangunan ibu pejabat Persatuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada 6 Februari 2024.
Hadir sama, Penasihat Di Pejabat Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Dato Mohamad Safri Datuk Abdillah, Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Jumaat Ibrahim serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir