Pengakap, Pandu Puteri Bakal Nikmati Tapak Perkhemahan Baharu Di Matang
KUCHING: Pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri bakal menikmati kemudahan tapak perkhemahan yang lebih lengkap di Matang menerusi pembangunan sebuah kompleks.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tapak tersebut akan mempunyai bangunan tersendiri bagi membolehkan aktiviti dapat dijalankan oleh dua-dua pergerakan tersebut.
"Kita juga sedang membangunkan sebuah bangunan yang, seperti yang dimaklumkan kepada saya, telah mencapai kira-kira 70 peratus tahap siap dan hanya berbaki 30 peratus lagi untuk disiapkan.
"Apabila siap kelak, ia akan menjadi satu peluang dan kemudahan kepada pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri dari seluruh Malaysia untuk berhimpun serta mengadakan pelbagai kegiatan yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak di Batu Lintang pada Sabtu.
Beliau juga Ketua Pengakap Sarawak memberitahu, kemudahan yang dibangunkan ini juga bertujuan melatih golongan belia yang menyertai pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri agar dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang membina jati diri serta membentuk sahsiah diri yang lebih baik.
Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini telah menyerahkan kawasan berkenaan kepada pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri untuk dijadikan pusat aktiviti serta tapak perkhemahan termasuk pernah menjadi lokasi penganjuran 'Jambori'. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir