Projek Kereta Api Trans-Borneo Kini Dalam Peringkat Kajian EPU Malaysia
KUCHING: Perancangan Projek Kereta Api Trans-Borneo di Sarawak yang melibatkan laluan Bintulu-Samalaju kini sedang dalam peringkat kajian oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kajian tersebut merupakan sebahagian daripada projek Kereta Api Trans-Borneo yang melibatkan Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei.
"Pada masa ini, kajian tersebut sedang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi Malaysia (EPU).
"Bagi pihak kita, apabila jajaran itu telah dikenal pasti, kita akan mula membina laluan kereta api dari Bintulu ke Samalaju berdasarkan jajaran tersebut.
"Perkara ini sedang dibincangkan bersama pihak yang menjalankan kajian di peringkat Persekutuan dan kita di Kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan penuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak di Batu Lintang pada Sabtu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, pembangunan laluan berkenaan penting memandangkan Bintulu dan Samalaju kini berkembang sebagai kluster perindustrian rendah karbon yang memerlukan sistem pengangkutan lebih cekap bagi menyokong pergerakan kargo dan aktiviti industri.
Malah dedah beliau, cadangan awal kerajaan negeri adalah menggunakan sistem Autonomous Rapid Transit (ART), namun kereta api sesuai dilaksanakan berdasarkan keadaan muka bumi serta cadangan yang dikemukakan melalui kajian Kerajaan Persekutuan.
Mengulas kemungkinan laluan itu diperluaskan sehingga ke Kuching, Premier Sarawak berkata perkara tersebut bergantung kepada jajaran nasional yang akan diputuskan kelak dan perlu dilaksanakan secara berperingkat memandangkan kos pembangunan sistem kereta api adalah tinggi.
Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan penggunaan teknologi hidrogen sebagai sumber tenaga kereta api pada masa hadapan disebabkan kos pengeluaran hidrogen kini semakin kompetitif jika dibandingkan dengan diesel dan bahan api fosil lain. -EDISI UKAS