Program Kenegaraan Malaysia MADANI Perkukuh Kefahaman Wanita Mengenai Dasar & Inisiatif Kerajaan
KUCHING: Program Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI anjuran Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Samariang dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia menjadi platform penting untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran wanita, khususnya ibu tunggal, mengenai dasar serta inisiatif pembangunan kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, penganjuran seminar tersebut membuktikan kemampuan wanita untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, golongan ibu memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan masa depan anak-anak, justeru mereka perlu sentiasa dilengkapi dengan ilmu serta pengetahuan semasa.
“Walaupun ramai dalam kalangan ibu-ibu mungkin tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, mereka masih boleh menimba ilmu melalui program seperti ini.
“Melalui penglibatan dalam persatuan, mereka dapat mengetahui pelbagai program dan bantuan yang disediakan kerajaan untuk rakyat,” katanya semasa berucap dalam program berkenaan di Kampung Semariang Batu, di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Sharifah Hasidah, rakyat perlu memahami aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, selaras dengan agenda pembangunan yang digerakkan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sehubungan itu, katanya, pendidikan merupakan antara aspek utama yang diberikan perhatian bagi memastikan generasi muda Sarawak mampu bersaing dan menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak memperoleh pendidikan terbaik dan memanfaatkan peluang pendidikan tinggi percuma yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PITSA Samariang atas komitmen berterusan dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada wanita dan masyarakat setempat.
Katanya, usaha sedemikian penting dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak serta negara pada masa depan.-EDISI UKAS