Ibu Bapa Digesa Pantau Anak Di Semenanjung, Elakkan Mereka Terjebak Kegiatan Lumba Haram
SIBU: Ibu bapa di Sarawak digesa supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka yang berada di Semenanjung Malaysia bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan lumba haram yang boleh mengancam nyawa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, beliau menerima maklumat daripada pihak polis mengenai penglibatan beberapa remaja dari Sarawak dalam aktiviti lumba haram di lebuh raya sekitar Kuala Lumpur, termasuk satu kejadian yang dikesan pada awal pagi Sabtu.
"Saya mendapat tahu daripada polis bahawa sebahagian daripada mereka adalah anak Sarawak.
"Jadi, saya ingin menggesa semua rakyat Sarawak, terutamanya ibu bapa, sila ambil perhatian apabila anak-anak anda berada di Kuala Lumpur yang belajar atau atas urusan sendiri supaya memantau mereka agar tidak berlumba di lebuh raya. Sebaik sahaja hilang kawalan, nyawa mereka akan berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pembukaan Konvensyen dan Pameran Perniagaan Automotif Antarabangsa 2026 di Hotel Kingwood, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu turut mengingatkan golongan muda bahawa lumba haram bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah mengundang kemalangan tragis, kehilangan nyawa, serta mencetuskan masalah sosial yang menjejaskan keluarga dan komuniti.
Sebaliknya, Dato Sri Tiong menggalakkan generasi muda yang meminati bidang automotif dan sukan permotoran untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan secara sah dan terkawal.
“Kita mesti memastikan sukan permotoran memberi sumbangan positif kepada industri automotif melalui pembangunan kemahiran, inovasi dan penyertaan yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi Persatuan Pembaiki Kereta Sibu merangkap Presiden Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia Penghulu Teo Nging Poh, Pengerusi Pengelola Konvensyen dan Pameran Perniagaan Automotif Antarabangsa 2026 Kapitan Goh Kee Seng serta Penyelia Teknikal Persatuan Pembaiki Kereta Sibu dan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia, Kapitan Tay Guan Boo.-EDISI UKAS