Pemeliharaan Warisan Budaya Penting Kekalkan Jati Diri Generasi Muda
KUCHING: Kekayaan tradisi dan warisan budaya masyarakat Dayak perlu terus dipelihara agar generasi muda tidak kehilangan jati diri ketika Sarawak bergerak ke arah pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sambutan Hari Gawai Dayak bukan sahaja melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh identiti budaya dan mengekalkan tradisi warisan masyarakat Dayak.
Beliau berkata, warisan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun merupakan khazanah berharga yang perlu dipertahankan bagi memastikan generasi akan datang terus mengenali serta menghargai akar budaya mereka.
“Perayaan ini ada peringatan tulus bahawa kekuatan sebenar Sarawak terletak pada kepalbagaian etnik dan corak budayanya yang hidup harmoni di bawah satu payung naungan negara Malaysia yang berdaulat.
“Sesungguhnya kekayaan tradisi masyarakat dayak adalah khazanah penting yang wajib dipelihara dengan penuh iltizam agar generasi muda kita tidak kehilangan punca atau melupakan akar budaya mereka,” katanya dalam perutusan Hari Gawai Dayak 2026 pada Ahad.
Beliau berkata, Gawai Dayak turut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum menerusi amalan adat ngabang dan tradisi rumah terbuka yang menjadi antara keunikan masyarakat Dayak di Sarawak.
Menurutnya, semangat segulai sejalai yang menjadi teras kehidupan rakyat Sarawak perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan keharmonian yang dinikmati selama ini dapat dikekalkan.-EDISI UKAS