Penguasaan STEM & TVET Penting Pacu Daya Saing Bumiputera Sarawak
KUCHING: Penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasa bagi memastikan Bumiputera Sarawak mampu bersaing dalam ekonomi masa depan yang semakin dipacu oleh teknologi dan inovasi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi merupakan antara faktor utama dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, penguasaan STEM dan TVET amat penting bagi mengelakkan berlakunya jurang ekonomi yang lebih besar serta memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam merebut peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Dalam transformasi pendidikan adalah amat penting bagi masyarakat Bumiputera Sarawak untuk menekankan penguasaan dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan juga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengelakkan jurang ekonomi yang lebih besar.
“Kecenderungan untuk hanya memilih subjek mudah di peringkat kolej dan universiti tanpa menilai pasaran yang kukuh akan menyebabkan tenaga kerja Bumiputera berisiko terlepas peluang kerja bernilai tinggi manakala peluang keemasan dalam sektor industri berimpak tinggi akan didominasi oleh pihak lain yang lebih kompeten,” katanya dalam perutusan Hari Gawai Dayak 2026 pada Ahad.
Sehubungan itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyeru seluruh barisan kepimpinan dan ibu bapa dalam komuniti Bumiputera agar memainkan peranan sebagai pendorong utama dalam membimbing generasi muda memilih laluan pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Menurut beliau, walaupun bidang STEM dan TVET sering dianggap mencabar, penguasaan dalam bidang tersebut mampu membuka lebih banyak peluang kerjaya serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.-EDISI UKAS