Raptai Penuh Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2026 Berjalan Lancar
KUCHING: Persiapan bagi Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2026 yang akan berlangsung pada Isnin, 1 Jun 2026 di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Kuching kini berada pada peringkat akhir dengan raptai penuh diadakan bagi memastikan kelancaran penganjuran majlis tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut hadir meninjau persiapan serta perjalanan raptai yang melibatkan pelbagai pengisian acara dan aspek logistik bagi menyambut kehadiran para tetamu.
Tinjauan tersebut bertujuan memastikan segala perancangan berjalan mengikut jadual selain memberi peluang kepada jawatankuasa penganjur melakukan penyelarasan akhir sebelum majlis berlangsung.
Sepanjang raptai itu, pelbagai persembahan kebudayaan dan aturcara rasmi diuji bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang menjadi antara acara utama sambutan Hari Gawai Dayak di Sarawak.
Turut hadir menyaksikan raptai ialah warga Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN) bersama agensi-agensi berkaitan yang terlibat secara langsung dalam penyelarasan dan pengurusan majlis.
Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2026 akan dibuka kepada orang awam bermula seawal jam 9.00 pagi dan dijangka menerima kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang masyarakat bagi bersama-sama meraikan perayaan tersebut dalam suasana penuh muhibah dan keharmonian.
Majlis tersebut turut dijangka diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama barisan pemimpin kerajaan negeri.
Rumah terbuka itu dijangka menjadi platform mengukuhkan lagi perpaduan, persefahaman dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak selaras dengan semangat Hari Gawai Dayak yang diraikan setiap tahun. -EDISI UKAS