SIBURAN: Sebanyak RM50,000 daripada peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah diluluskan bagi penganjuran sambutan Gawai tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, sokongan berterusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan adat resam, bahasa dan kebudayaan masyarakat Bidayuh terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
“Budaya dan adat resam masyarakat Bidayuh merupakan identiti yang perlu dipertahankan. Selain memperkukuh jati diri komuniti, ia juga mempunyai potensi besar sebagai aset pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pertandingan Perarakan Gawai dan Sama Pimagan 2026 Kampung Seratau, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM55,000 bagi menyokong penganjuran sambutan Gawai tahun ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam usaha memelihara warisan budaya termasuk penggunaan bahasa Bidayuh, seni persembahan tradisional serta amalan adat yang semakin terhakis akibat perubahan zaman.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu, pembangunan sektor pelancongan di kawasan beliau akan terus memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya dengan kekayaan warisan masyarakat Bidayuh dilihat sebagai antara kekuatan utama kawasan tersebut.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru agar 13 kampung Bidayuh di kawasan Mambong terus bersatu dan bekerjasama dalam memperkukuh pembangunan komuniti serta memelihara warisan budaya secara berterusan. -EDISI UKAS