Infrastruktur, Pendidikan Dan SKAS Bukti Keprihatinan GPS
KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komited memperkukuh pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat demi memastikan kemajuan yang dinikmati dapat dirasai oleh seluruh masyarakat di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, komitmen tersebut diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif dan dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, kerajaan kini sedang giat melaksanakan projek menaik taraf sebanyak 5,979 kilometer bekas jalan balak di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kesalinghubungan dan aksesibiliti komuniti luar bandar.
“Jalan raya yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan hubungan antara kawasan, malah membuka peluang ekonomi, memperluaskan akses kepada kemudahan kesihatan dan pendidikan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2026.
Dalam aspek pendidikan, beliau berkata pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merupakan satu langkah bersejarah yang membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam pembangunan modal insan.
Katanya, menerusi skim tersebut, anak-anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), termasuk undang-undang dan psikologi di universiti milik Sarawak tanpa membebankan keluarga mereka.
“Pendidikan merupakan kunci untuk memutuskan kitaran kemiskinan serta membina masa depan yang lebih baik bagi generasi muda,” ujarnya.
Pada masa sama, Datuk Amar Douglas Uggah berkata inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat susulan peningkatan harga barangan akibat konflik di Asia Barat.
Beliau menjelaskan kadar bantuan SKAS bagi tahun 2026 telah ditingkatkan kepada RM1,100 setahun untuk isi rumah berbanding RM950 sebelum ini, RM600 setahun untuk warga emas berbanding RM500, manakala individu bujang menerima RM375 setahun berbanding RM300.
Tambah beliau, pembayaran SKAS dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa kedua telah mula disalurkan pada 15 Mei lalu.
Mengulas mengenai sambutan Gawai Dayak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata perayaan tersebut merupakan masa yang amat bermakna untuk masyarakat Dayak menzahirkan kesyukuran atas rezeki dan nikmat yang diterima selain mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memelihara warisan budaya dan adat resam yang diwarisi turun-temurun.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan Sarawak perlu terus diperkukuhkan selaras dengan konsep Segulai Sejalai yang menjadi identiti rakyat negeri ini.
“Marilah kita terus bersatu dan berganding bahu dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak yang makmur, inklusif dan lestari,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak di Sarawak serta berharap sambutan tahun ini membawa kebahagiaan, keamanan, kesihatan yang baik dan kemakmuran kepada semua.- EDISI UKAS