Korban Perdana Daerah Lundu Santuni 1,500 Asnaf Melalui Agihan Daging Korban
LUNDU: Seramai 1,500 penerima dalam kalangan asnaf di seluruh Daerah Lundu menerima manfaat daripada Program Korban Perdana Peringkat Daerah Lundu 2026 yang berlangsung serentak di lima lokasi utama di daerah ini, pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan program berkenaan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri.
Program yang bermula seawal jam 7 pagi itu dilaksanakan secara serentak di lima lokasi iaitu Kampung Sampadi, Pejabat Daerah Lundu, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lundu, Kampung Meriyu dan Telok Melano.
Sebanyak 15 ekor sapi telah dikorbankan dalam program berkenaan sebelum daging korban diagihkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di seluruh daerah ini.
Melalui pelaksanaan program tahunan ini, manfaat ibadah korban dapat dikongsi bersama masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf, selaras dengan semangat pengorbanan dan keprihatinan yang menjadi teras sambutan Aidiladha.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) Datuk Amar Jamilah Anu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Abang Abdul Aziz Abang Draup, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Hamdan Jaree dan Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail.-EDISI UKAS