Projek GKCDA Pacu Kemajuan Kampung Pasir Tengah, Perkukuh Kemudahan Luar Bandar
LUNDU: Pelaksanaan beberapa projek pembangunan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) terus memperkukuh kemudahan luar bandar di Kampung Pasir Tengah sekali gus meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek-projek yang dilaksanakan bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal yang lebih baik, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan projek-projek GKCDA bersempena Sambutan Pra Gawai 2026 di Kampung Pasir Tengah, pada Sabtu.
Menurut beliau, antara projek yang telah berjaya dilaksanakan ialah Projek Jalan dan Jambatan Sangat, Jalan Pertanian Batu Wangkang, Projek Tar Rumah ke Rumah serta pembinaan Dewan Serbaguna Kampung.
Katanya, pembinaan jalan dan jambatan yang lebih baik memudahkan pergerakan penduduk serta mempertingkatkan akses ke kawasan sekitar, manakala Jalan Pertanian Batu Wangkang memberi manfaat besar kepada para petani dengan memudahkan pengangkutan hasil pertanian dan mengurangkan kos operasi.
“Projek Tar Rumah ke Rumah pula meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk terutama ketika musim hujan, sementara Dewan Serbaguna Kampung menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan dan perpaduan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa projek-projek berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif dapat dinikmati oleh masyarakat luar bandar.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek dan Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail. -EDISI UKAS