KUCHING: Sambutan Hari Gawai Dayak bukan sekadar platform pertemuan semula keluarga dan kepulangan anak-anak ke rumah panjang, malah menjadi asas penting dalam memperkukuh pembinaan bangsa Sarawak yang berteraskan perpaduan, kestabilan dan kemakmuran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, perayaan tersebut merupakan simbol kekayaan budaya dan tradisi masyarakat Dayak yang meraikan hasil tuaian di samping mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Menurut beliau, Hari Gawai Dayak turut menjadi wadah yang menyatukan seluruh anak Sarawak tanpa mengira latar belakang untuk saling menghormati, berinteraksi dan meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama negeri ini.
“Gawai Dayak bukan sekadar perjumpaan keluarga atau pulang ke rumah panjang. Ia adalah perayaan budaya yang meraikan hasil tuaian dan pada masa yang sama menghimpunkan anak-anak Sarawak untuk bersama-sama mengeratkan silaturahim, saling menghormati dan menikmati sambutan ini sebagai sebuah keluarga besar Sarawak.
“Inilah contoh terbaik pembinaan bangsa Sarawak yang perlu terus diperkukuhkan kerana perpaduan adalah asas kepada kestabilan, manakala kestabilan pula menjadi pemangkin kepada kemakmuran,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2026.
Beliau berkata, kejayaan Sarawak yang dikecapi hari ini membolehkan negeri itu menjadi contoh kepada banyak pihak, malah semakin dipandang tinggi berbanding sedekad lalu.
Menurutnya, perubahan positif yang berlaku hasil perancangan pembangunan dan kestabilan politik telah menjadikan Sarawak sebuah negeri yang semakin dihormati dan menjadi kebanggaan rakyatnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa anak-anak Sarawak di perantauan agar turut memainkan peranan dalam menyumbang idea, kepakaran dan tenaga demi meneruskan agenda pembinaan bangsa serta pembangunan negeri.
“Apabila pulang ke Sarawak, lihatlah sendiri perubahan yang telah berlaku dan fikirkan bagaimana anda boleh memainkan peranan untuk membantu menjadikan Sarawak lebih maju pada masa hadapan,” ujarnya.
Mengakhiri perutusannya, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika memandu bagi memastikan sambutan Hari Gawai Dayak terus diraikan dalam suasana gembira dan selamat. -EDISI UKAS