Naik Taraf Jalan Bekas Balak Percepat Pembangunan Pedalaman Ulu Baram
MIRI: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan kawasan pedalaman menerusi usaha mengambil alih dan menaik taraf bekas jalan-jalan balak di seluruh negeri, termasuk di kawasan Ulu Baram.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, inisiatif tersebut membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan bagi meningkatkan jaringan perhubungan luar bandar secara berperingkat demi manfaat rakyat.
Menurut beliau, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara menyeluruh.
“Pembangunan ini bukan sahaja melibatkan penyediaan infrastruktur, malah turut merangkumi kemudahan asas, pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Panjang Blok Baharu Uma Pawe di Long Apu, Baram, pada Sabtu.
Long Apu yang terletak kira-kira 240 kilometer dari Miri dan mengambil masa antara enam hingga tujuh jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, yang merupakan antara kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada laluan bekas jalan balak sebagai akses utama.
Sementara itu, Datuk Gerawat yang juga Ahli Dewan Unndangan Negeri (ADUN) Mulu turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola yang diketuai Anthony Lawai Lutang serta Ketua Kaum Peter Kebing Tingang atas kejayaan merealisasikan pembinaan blok baharu rumah panjang berkenaan.
Beliau berkata, perasmian blok baharu itu merupakan satu detik bersejarah yang mencerminkan kemajuan, perpaduan dan semangat juang masyarakat Kenyah Uma Pawe dalam membangunkan komuniti mereka.
“Dengan penambahan 123 pintu baharu, Uma Pawe kini mempunyai 193 pintu rumah panjang yang menempatkan kira-kira 1,000 penduduk, sekali gus menjadikannya antara rumah panjang terbesar di kawasan Baram.
“Kejayaan ini membuktikan kekuatan kepimpinan serta kerjasama erat seluruh komuniti dalam membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan komuniti setempat, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Apu.
Turut hadir Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajang.- EDISI UKAS