Keputusan Bertanding PRN Terserah Kepada Premier Sarawak - Datuk Amar Douglas Uggah
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyerahkan kepada kebijaksanaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk menentukan sama ada dirinya akan terus bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Mengulas spekulasi mengenai persaraannya dalam arena politik, beliau berkata perkara tersebut merupakan prerogatif kepimpinan parti dan bukan sesuatu yang perlu diputuskan berdasarkan khabar angin.
“Saya tiada komen mengenai perkara itu, saya serahkan kepada Premier Sarawak selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
"Beliau mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan sama ada seseorang pemimpin perlu bersara atau meneruskan khidmat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada Isnin.
Tambahnya, proses peralihan kepimpinan merupakan perkara biasa dalam politik kerana setiap pemimpin mempunyai tempoh dan peranan masing-masing dalam menerajui pembangunan negeri.
Jelasnya, faktor usia juga perlu diambil kira kerana ia boleh mempengaruhi kemampuan seseorang pemimpin untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dan teknologi baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan kesihatannya masih baik dan menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan berhubung pencalonannya pada PRN akan datang.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery