Premier Sarawak 'Ngabang' Ke Rumah Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkesempatan 'ngabang' atau berkunjung ke rumah kediaman mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang sempena Hari Gawai Dayak pada Isnin.
Ketibaan beliau pada sekitar 12 tengahari disambut mesra oleh ahli keluarga Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.
Beliau berkesempatan meluangkan masa sekitar satu jam setengah dengan beramah mesra serta menikmati hidangan bersama tokoh veteran politik Sarawak itu yang merupakan antara Timbalan Ketua Menteri yang lama memegang jawatan tersebut sejak 1974 sebelum meninggalkan pentas politik pada 2016.
Ketika ditemui pemberita, Datuk Patinggi Alfred Jabu berkata, budaya kunjung-mengunjung semasa musim perayaan seperti Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina membuktikan keikhlasan rakyat Sarawak dalam memupuk perpaduan antara kaum.
Jelasnya, semangat hidup bersama yang diterjemahkan menerusi konsep “Segulai Sejalai” bukan sahaja menjadi amalan rakyat Sarawak, malah kini diterima sebagai contoh perpaduan yang baik di peringkat nasional.
"Kini merupakan masa yang sesuai, terutama ketika musim perayaan seperti Gawai untuk membawa generasi muda bersama-sama supaya mereka dapat mengenali saudara-mara dan rakan-rakan mereka.
"Kita juga mempunyai rakan-rakan yang datang dari Pulau Pinang dan tempat-tempat lain di Malaysia untuk meraikan Gawai di sini di mana mereka bukan sahaja berkunjung ke rumah saya dan keluarga saya, malah turut mengunjungi rakan-rakan yang lain.
"Ini adalah sesuatu yang baik dan kita amat bersyukur," katanya.
Menyentuh pembangunan negeri, beliau memuji kepimpinan Premier Sarawak yang disifatkan sebagai mesra rakyat, rendah diri dan mempunyai perancangan jangka panjang yang jelas untuk masa depan negeri.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak kini memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri serta pembangunan infrastruktur luar bandar.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir