Lebih 2,000 Pengunjung Meriahkan Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026
KUCHING: Lebih daripada 2,000 rakyat sekitar Kuching meriahkan Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 yang diadakan di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada Isnin.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sambutan yang diterima tahun ini melebihi jangkaan awal penganjur, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat Sarawak.
"Ini mencerminkan bahawa Sarawak merupakan negeri yang paling harmoni di mana keharmonian kaum dan agama yang kita miliki sukar ditandingi oleh mana-mana tempat lain.
"Jadi inilah yang perlu kita terus bina, jaga dan pelihara kerana dengan adanya keharmonian kaum dan agama ini, Premier Sarawak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha memajukan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa majlis tersebut yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan juga menyeru rakyat agar terus bersatu dan bersama-sama menyumbang idea serta sokongan kepada kerajaan bagi memastikan Sarawak terus berkembang sebagai negeri contoh di Malaysia dan rantau Asia.
Mengulas lanjut mengenai perayaan Gawai Dayak, beliau memberitahu, sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 bakal diadakan pada 21 Jun ini manakala Perarakan Niti Daun pula akan diadakan pada 20 Jun.
Menurutnya, sambutan berkenaan dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery