Dakwaan Diskriminasi Pemberian Bantuan Perayaan Di Sarawak Tidak Berasas
KUCHING: Dakwaan kononnya wujud diskriminasi kaum dan agama dalam pemberian bantuan perayaan di Sarawak adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif dengan menyalurkan bantuan mengikut keperluan dan amalan setiap komuniti tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Menurutnya, isu berkenaan timbul selepas beliau menyumbangkan 16 ekor lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang kemudiannya dipersoalkan oleh pihak tertentu.
"Saya beritahu mereka bahawa di kawasan saya sendiri, saya menyumbangkan hampir 200 hingga 300 ekor khinzir untuk diternak masyarakat namun ibadah korban bukan dilakukan dengan cara sedemikian.
“Mereka yang membangkitkan perkara itu sebenarnya tidak memahami keadaan sebenar di lapangan kerana bagi kami, membantu semua rakyat adalah keutamaan.
"Kami mempunyai contoh teladan iaitu Premier Sarawak maka kami mengikuti pendekatan, dasar, tindakan dan program beliau kerana semuanya memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak memainkan sentimen perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan keharmonian negeri, sebaliknya bersama-sama menyumbang idea dan tenaga bagi membangunkan Sarawak.
Tambah beliau, kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil kerjasama erat rakyat pelbagai kaum yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery