AirBorneo Diharap Mampu Selesaikan Isu Penerbangan Menjelang Musim Perayaan
KUCHING: Pengoperasian penuh AirBorneo diharapkan mampu menyelesaikan belenggu rakyat Sarawak di perantauan mengenai isu penerbangan yang sering dihadapi pada musim perayaan disebabkan harga tiket yang tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ketika ini pengambilalihan dan pengoperasian syarikat penerbangan tersebut masih berada dalam tempoh peralihan, sekali gus menyebabkan beberapa cabaran belum dapat diuruskan secara optimum.
"Namun, saya berdoa agar pada tahun hadapan, kita mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan sebelum sambutan Gawai dan perayaan-perayaan lain untuk mencuba menyelesaikan masalah penerbangan yang dihadapi.
"Ini akan membolehkan mobiliti rakyat kita yang bertugas di luar Sarawak untuk pulang, dan pada masa yang sama memudahkan rakyat yang bekerja di Sarawak untuk balik ke kampung halaman masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), di sini, pada Isnin.
Jelasnya, pendekatan menubuhkan AirBorneo merupakan pendekatan yang sesuai memandangkan penerbangan ini membolehkan Kerajaan Sarawak terus membantu rakyat untuk mempunyai alternatif penerbangan yang lebih murah.
Datuk Patinggi Abang Zohari juga berharap lebih banyak subsidi dapat disalurkan bagi membantu menangani isu penerbangan, khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap tiket penerbangan.
Tambahnya, kerajaan negeri akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan perjalanan yang lebih baik pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Premier Sarawak merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa memainkan peranan dalam mempromosikan budaya dan keunikan Sarawak kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tambahnya, penyebaran kandungan melalui platform digital seperti media sosial turut membantu memperkenalkan keunikan budaya Sarawak kepada masyarakat antarabangsa.
"Ini akan menarik minat mereka untuk mempelajari kehidupan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan berbilang agama.
"Melalui festival seperti ini, masyarakat luar dapat mengenali dengan lebih dekat budaya dan cara hidup rakyat Sarawak.
"Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para wartawan kerana mereka juga sama-sama memainkan peranan dalam menyemarakkan budaya kita," ujarnya.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery