Rumah Terbuka Gawai Betong Perkukuh Semangat Perpaduan Masyarakat Majmuk
BETONG: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak terus diperkukuh menerusi penganjuran Rumah Terbuka Hari Gawai anjuran bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang berlangsung meriah di Dewan Sukan SJKC Chung Hua, pada Selasa.
Datuk Gerald berkata semangat perpaduan yang menjadi kekuatan rakyat Sarawak perlu terus dipelihara dan diperkukuhkan tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, sejajar dengan konsep ‘Segulai Sejalai’ yang menjadi amalan masyarakat negeri ini.
Menurut beliau, sambutan perayaan seperti Hari Gawai bukan sahaja menjadi medan meraikan warisan budaya masyarakat Dayak, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Majlis yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum termasuk Iban, Melayu dan Cina yang hadir memeriahkan sambutan dalam suasana penuh muhibah.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama isteri, Datin Amar Doreen Mayang.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Kesejahteraan Komuniti) Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, mantan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat serta dif-dif kenamaan lain.
Sementara itu, Dato Dr Richard berkata keharmonian dan toleransi yang dinikmati rakyat Sarawak hari ini merupakan aset penting dalam memastikan kestabilan politik serta kelangsungan agenda pembangunan negeri.
Menurut beliau, kestabilan sosial yang kukuh membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan secara lebih berkesan demi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.
Penganjuran rumah terbuka seumpama ini terus menjadi wadah penting dalam mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi tunjang kepada kemajuan dan kemakmuran Sarawak.- EDISI UKAS