Struktur Fi FWTA Dikaji, Libat Urus Bersama Industri
MIRI: Struktur Fi Foreign Workers Transformation Approach (FWTA) akan dikaji semula susulan maklum balas terhadap kebimbangan serta representasi yang dikemukakan oleh pelbagai pihak berkepentingan industri dan persatuan perniagaan berhubung pelaksanaan struktur fi FWTA.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala. Beliau berkata, ketika ini fi bagi permohonan permit kerja dan pembaharuan permit kerja pekerja asing adalah RM1,854 seperti yang ditetapkan dalam kontrak dengan penyedia perkhidmatan.
“Bagaimanapun majikan telah diberikan diskaun sebanyak 51 peratus bagi fi pembaharuan FWTA, menjadikan kadar yang dikenakan RM904 bagi setiap pembaharuan dari Januari 2025 hingga Jun 2026 hasil rundingan berterusan antara kerajaan dan penyedia perkhidmatan.
“Bagi tempoh Julai hingga Disember 2026 pula, majikan akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus dengan kadar fi pembaharuan ditetapkan pada RM1,483 bagi setiap pembaharuan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Tambahnya, diskaun selepas Disember 2026 tertakluk kepada rundingan selanjutnya.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat memberitahu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengarahkan kajian itu dilaksanakan bagi menilai impaknya terhadap industri yang bergantung kepada tenaga kerja bukan pemastautin, selain memudah cara pertumbuhan ekonomi dan mengamalkan tadbir urus yang proaktif.
Jelasya, kajian berkenaan akan menilai kesan operasi kepada industri sambil memastikan matlamat memodenkan, memperkukuh keselamatan dan mendigitalkan ekosistem pengurusan tenaga kerja Sarawak terus dikekalkan.
Tegasnya, libat urus bersama pihak industri dan organisasi perniagaan akan menjadi sebahagian daripada proses kajian dan penilaian tersebut.
"Sebarang keputusan atau penyesuaian berkaitan struktur fi FWTA akan dimaklumkan selepas kajian dan penilaian berkenaan selesai dilaksanakan," katanya.
Datuk Gerawat menegaskan sistem terdahulu bukanlah tanpa kos sebaliknya kos tersebut bersifat tidak langsung dan ditanggung sendiri oleh majikan.
Menurutnya, FWTA dilaksanakan menerusi konsep Perkongsian Awam-Swasta (PPP) bagi mendigitalkan proses pengambilan pekerja bukan pemastautin untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan memendekkan tempoh kelulusan tanpa membebankan pembayar cukai
Jelasnya lagi, pelaksanaan FWTA telah berjaya mengurangkan tempoh pemprosesan daripada 197 hari kepada purata 60 hari, iaitu pengurangan hampir 70 peratus sekali gus memberi manfaat kepada majikan melalui perancangan operasi yang lebih baik dan kecekapan kewangan yang lebih ketara.
Sebelum pelaksanaan FWTA, Datuk Gerawat menyatakan, majikan menanggung pelbagai kos tersembunyi termasuk kehilangan hasil akibat tambahan 137 hari tempoh menunggu atau masa pekerja tidak produktif, perjalanan berulang kali ke pejabat kerajaan untuk urusan pentadbiran, ketidakpastian operasi serta kesukaran merancang jadual penuaian, garis masa pembinaan atau kitaran pengeluaran.
Ujarnya lagi, kelewatan ini juga menyebabkan kos peluang akibat projek atau kontrak yang tertangguh atau terlepas. -EDISI UKAS