Projek Naik Taraf Jalan Bakal Tingkat Keselesaan Penduduk Bintangor
MERADONG: Projek menaiktaraf jalan utama dari Kampung Rancak Bintangor ke Bandar Bintangor bernilai RM20.035 juta yang diluluskan Kerajaan Sarawak dijangka membawa manfaat besar kepada penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata projek yang dilaksanakan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RDDA) itu kini sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Menurut beliau, projek tersebut akan meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku terutama pada waktu puncak.
“Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur serta sistem perhubungan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Pra Gawai DUN Meradong di beberapa kawasan rumah panjang sekitar Tanah Putih, Sungai Petai, Skim B Meradong, Jalan KJD, Ulu Stras dan Sungai Buloh, pada Selasa.
Tambah beliau, pelaksanaan projek tersebut merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memastikan pembangunan yang seimbang dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar dan bandar kecil.
Pada masa sama, Datuk Ding menyeru masyarakat agar terus mengekalkan kerjasama erat dengan kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kelulusan projek berkenaan yang diyakini mampu memberi impak positif kepada pembangunan serta pertumbuhan ekonomi setempat.
Program Pra Gawai yang memasuki hari ke-23 itu turut menyaksikan Datuk Ding menyantuni penduduk rumah panjang menerusi sesi ramah mesra serta penyampaian sumbangan sempena sambutan Hari Gawai.
Suasana program bertambah meriah apabila beliau turut menyertai beberapa aktiviti bersama penduduk termasuk menyampaikan lagu, menyertai senam poco-poco dan mempersembahkan tarian ngajat sebagai tanda sokongan terhadap warisan budaya masyarakat Dayak.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor Chieng Buong Ong, Setiausaha Parti SUPP Cawangan Bintangor Lau Sie Hing, Bendahari Parti SUPP Cawangan Bintangor Lee Ngin Soon, Kapitan Wong Mee King, Kapitan Wong Leh Hee serta Kaunselor Tang Kieh Ming.- EDISI UKAS