Sukan Tradisi Melastik Terus Dapat Sambutan Masyarakat
LAWAS: Lebih 100 peserta telah menyertai Pertandingan Slingshot Tertutup Lawas 2026 yang bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat, malah membantu memelihara warisan sukan tradisional melastik.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Dua dengan kerjasama Kelab Wacasss GBD Slingshot.
Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai kepada para pemenang iaitu Johan RM300, Naib Johan RM200 dan Tempat Ketiga RM150.
Selain itu, 20 peserta terbaik turut menerima saguhati RM30 seorang sebagai penghargaan penyertaan.
Ketua Kampung Batu Dua, Haidan Dollah berkata pertandingan melastik merupakan aktiviti tradisional yang wajar dipelihara kerana mampu menyatukan masyarakat selain menjadi wadah menggalakkan penglibatan dalam aktiviti sukan dan rekreasi yang sihat.
“Pertandingan seperti ini menjadi platform untuk mencungkil bakat dalam sukan melastik, malah berperanan memelihara warisan budaya tradisional serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Slingshot Tertutup Lawas 2026 di Gelanggang Gasing Kampung Batu Dua, pada Isnin.
Tambah beliau, pihaknya amat menghargai kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk jawatankuasa penganjur, peserta serta penduduk kampung yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih ramai dari seluruh Daerah Lawas bagi memupuk semangat kesukanan dan perpaduan komuniti.
Turut hadir, wakil Kelab Wacassss GBD Slingshot, ahli-ahli JKKK Batu Dua serta jawatankuasa penganjur. -EDISI UKAS