Pesta Kaul Sungai Kut Muara Pelihara Warisan Melanau, Perkukuh Perpaduan Komuniti
DALAT: Pesta Kaul Sungai Kut Muara terus menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Melanau di samping memperkukuh hubungan silaturahim serta perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata tradisi yang diwarisi turun-temurun itu perlu terus dipelihara agar generasi muda dapat memahami, menghargai dan meneruskan identiti budaya masyarakat Melanau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaul Sungai Kut Muara 2026 yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Sungai Kut Muara, pada Selasa.
Menurut beliau, Kaul merupakan upacara tradisional yang melambangkan kesyukuran serta simbolik pembersihan daripada perkara tidak baik mengikut kepercayaan masyarakat Melanau terdahulu.
Katanya, amalan ‘Memulik Lo Tou Lo Amou’ serta perarakan ‘Serareng’ dan ‘Rhabong’ yang membawa pelbagai persembahan ke ‘Tugik’ merupakan antara tradisi asli masyarakat Melanau yang masih dikekalkan sehingga kini.
Tambah beliau, penganjuran Pesta Kaul bukan sahaja berperanan memelihara warisan budaya, malah menjadi medium penting dalam memperkenalkan sejarah, adat resam dan nilai masyarakat Melanau kepada generasi muda.
Dalam majlis yang sama, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Dalat Tahun 2026 Fasa 2 berjumlah RM693,000 bagi menyokong pelbagai program pembangunan komuniti dan pendidikan di kawasan berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM585,000 diperuntukkan kepada program Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), RM77,000 bagi pelaksanaan projek komuniti termasuk penganjuran Pesta Kaul dan kerja-kerja baik pulih rumah ibadat, manakala RM31,000 disalurkan kepada sektor pendidikan.
Beliau berharap Pesta Kaul akan terus dipelihara sebagai khazanah budaya masyarakat Melanau, manakala peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyokong pembangunan kawasan.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Dalat, Nurul Khairul Nisa dan Ketua Kaum Kampung Sungai Kut Muara, Muklis. -EDISI UKAS