Sarawak Tunggu Kelulusan Akhir China Untuk Kampus Universiti Fudan
SIBU: Sarawak semakin hampir merealisasikan penubuhan kampus luar negara pertama Universiti Fudan apabila hanya menunggu kelulusan akhir daripada Kerajaan China sebelum projek berkenaan dapat dilaksanakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, beliau akan mengadakan lawatan ke Beijing minggu hadapan bagi mendapatkan persetujuan terakhir daripada Kerajaan China berhubung cadangan penubuhan institusi pendidikan tinggi berprestij itu di Sarawak.
Menurut beliau, cadangan tersebut telah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Shanghai, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Malaysia, dengan kelulusan daripada Kerajaan China menjadi satu-satunya perkara yang masih diperlukan.
“Apa yang masih diperlukan ialah kelulusan daripada Kerajaan China di Beijing dan sebab itulah pada minggu hadapan saya akan ke Beijing dengan harapan dapat memperoleh kelulusan terakhir tersebut.
“Saya juga telah memohon bantuan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia untuk memastikan Kerajaan China memberikan persetujuan terhadap inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis makan malam sempena lawatan rasmi Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Ouyang Yujing yang dianjurkan oleh Persatuan Gabungan Cina (UCA) Sibu pada Selasa.
Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, penubuhan sekolah perubatan Universiti Fudan itu amat penting bagi membantu mengatasi kekurangan kira-kira 2,000 doktor di Sarawak ketika ini.
Katanya, sebaik sahaja kelulusan diperoleh, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan dan pembinaan sekolah perubatan tersebut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan bakat dan pendidikan terus menjadi antara agenda utama Kerajaan Sarawak dalam usaha membangunkan modal insan serta memperkukuh pembangunan negeri.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak komited melabur dalam sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif termasuk pendidikan tinggi percuma dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek, ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS