MyKiosk@KPKT Buka Peluang Peniaga Kampung Tian Tingkatkan Pendapatan
MATU: Empat peniaga di Kampung Tian menerima kiosk di bawah Program MyKiosk@KPKT yang dilihat mampu membantu meningkatkan pendapatan serta memperkukuh perniagaan mereka menerusi penyediaan ruang niaga yang lebih selesa, teratur dan strategik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kiosk Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) kepada para peniaga di Dataran Kampung Tian, Matu pada Selasa.
Program MyKiosk@KPKT merupakan inisiatif kerajaan bagi menyediakan ruang niaga yang lebih sistematik, selamat dan kondusif kepada penjaja serta peniaga kecil, sekali gus membantu golongan usahawan mikro dan B40 mengembangkan perniagaan masing-masing.
Melalui kemudahan tersebut, para peniaga berpeluang menjalankan perniagaan di lokasi yang lebih strategik selain menikmati persekitaran yang lebih bersih dan selamat.
Program berkenaan turut bertujuan menempatkan semula penjaja sedia ada ke kawasan perniagaan yang lebih terancang bagi mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif dan teratur.
Empat penerima kiosk MyKiosk Kampung Tian ialah Abdul Rajak Sapawi, Jamis Johari, Pandi Lee Hashim dan Lina Juli.
Kesemua penerima melahirkan penghargaan atas inisiatif yang disediakan kerajaan dan yakin kemudahan tersebut mampu membantu memperkukuh perniagaan serta meningkatkan pendapatan keluarga pada masa akan datang.
Datuk Dr Juanda berharap kiosk yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peniaga untuk terus mengembangkan perusahaan masing-masing sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Turut hadir Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi, Ketua Seksyen Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar MDMD Apohrozy Ezrie Ellie serta Pemanca Daerah Matu, Mesaleh @ Che’Jeni Shahdan. -EDISI UKAS