Adat & Budaya Bidayuh Perlu Dipelihara Demi Generasi Akan Datang
SERIAN: Adat resam dan budaya tradisi masyarakat Bidayuh perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan identiti dan warisan komuniti tersebut tidak luput ditelan arus pembangunan serta perubahan zaman.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, usaha mengekalkan adat dan budaya tradisi perlu menjadi tanggungjawab bersama, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi khazanah budaya masyarakat pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Gawai Dayak Kampung Pichin 2026 yang berlangsung meriah di Kampung Pichin, pada Selasa.
Menurut beliau, budaya dan adat resam merupakan khazanah yang amat bernilai serta menjadi lambang identiti sesuatu masyarakat yang perlu terus dipertahankan.
Sambutan tahun ini mengetengahkan tema ‘Kinakal Adat Bidayuh Tinan Nyindi Adup’ yang membawa maksud ‘Kekalkan Adat Bidayuh Sebagai Alat Penyatuan Penduduk Kampung Pichin’.
Tema tersebut menekankan kepentingan adat dan budaya Bidayuh sebagai asas perpaduan, keharmonian serta identiti masyarakat setempat dalam mendepani cabaran pembangunan dan perubahan semasa.
Sehubungan itu jelas beliau, penglibatan aktif golongan muda dalam aktiviti kebudayaan, kesenian dan adat tradisional amat penting bagi memastikan warisan masyarakat Bidayuh terus relevan dan dapat diwarisi oleh generasi seterusnya. -EDISI UKAS