LUNDU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pembangunan kawasan sawah di Jangkar sebagai langkah memperkukuh sektor pertanian serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memajukan sektor pertanian yang menjadi antara sumber ekonomi penting kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Gawai Dayak Kampung Bitokan 2 Tahun 2026, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pembangunan kawasan sawah berkenaan dijangka mampu meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh sekuriti makanan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Selain pembangunan pertanian, Billy turut memaklumkan bahawa projek pembinaan dewan serbaguna Kampung Bitokan 2 kini sedang menunggu proses kelulusan seterusnya, manakala projek jalan pertanian di kawasan tersebut berada pada peringkat tender.
Pada majlis sama, Billy turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Tahun 2026 kepada Gereja St Gregory tertakluk kepada penerimaan surat permohonan rasmi daripada pihak gereja.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek. -EDISI UKAS