BETONG: Tradisi ngabang sempena Hari Gawai Dayak terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim, perpaduan dan semangat kebersamaan antara pemimpin serta masyarakat di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama rombongan telah mengadakan kunjungan Hari Gawai ke beberapa rumah panjang di kawasan Ulu Paku pada Selasa bagi menyantuni penduduk serta berkongsi kemeriahan sambutan perayaan bersama masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu mengunjungi Nanga Paun, Jukun, Lubok Kelampu dan Danau sebagai sebahagian daripada program tahunan beliau untuk terus mendekati rakyat selain mendengar sendiri perkembangan semasa komuniti di kawasan berkenaan.
Sepanjang kunjungan tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah berpeluang beramah mesra dengan penduduk rumah panjang serta bertukar pandangan berkaitan pelbagai isu pembangunan setempat.
Kehadiran beliau bersama rombongan turut disambut mesra oleh penduduk yang menzahirkan penghargaan atas kesudian pemimpin itu meluangkan masa bersama-sama meraikan sambutan Hari Gawai.
Program tersebut turut mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras sambutan Hari Gawai Dayak di Sarawak.
Turut mengiringi beliau ialah isteri Datin Doreen Mayang, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan DUN Bukit Saban Natasha Nasa Uggah dan Timbalan Ketua Cawangan Bukit Saban Abang Madehi Abang Abdul Latip. -EDISI UKAS