Pagoda Tujuh Tingkat Bakal Jadi Mercu Tanda Baharu Sarikei
SARIKEI: Pembinaan pagoda tujuh tingkat di Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei dijangka menjadi mercu tanda baharu serta produk pelancongan yang mampu meningkatkan daya tarikan bandar Sarikei pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, projek berkenaan yang dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat penyebaran ajaran Buddha, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wesak anjuran Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei yang berlangsung di Dewan Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei, bari-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut mendedahkan kerajaan juga sedang melaksanakan projek pelebaran Jalan Nyelong Bypass di hadapan persatuan tersebut yang akan dinaik taraf kepada jalan empat lorong bagi melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya.
Menyentuh mengenai mahlis, beliau berkata sambutan Hari Wesak membawa mesej penting mengenai nilai kasih sayang, kebijaksanaan dan keharmonian yang perlu terus diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Katanya, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu terus memupuk sikap saling menghormati, bertolak ansur dan membantu antara satu sama lain bagi mengekalkan perpaduan serta kestabilan yang dinikmati Sarawak hari ini.
Pada majlis sama, Dato Sri Huang turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan persatuan berkenaan.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei Chan Phan Chan. -EDISI UKAS