Projek Pembesaran Lapangan Terbang Miri Diluluskan
MIRI: Projek pembesaran Terminal Lapangan Terbang Miri yang sekian lama diperjuangkan akhirnya diluluskan melibatkan kos berjumlah RM445 juta.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kelulusan projek berkenaan merupakan satu perkembangan penting yang akan memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan, perdagangan dan ekonomi tempatan.
"Projek tersebut amat penting dalam memperkukuhkan kedudukan Miri sebagai pintu masuk utama pelancongan di utara Sarawak serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Hari Gawai di kediaman bekas Kaunselor Majlis Bandaraya Miri (MBM), Kijan Toynbee, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee memaklumkan, projek pembinaan lorong tambahan khas untuk kenderaan Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh yang dibiayai Kerajaan Sarawak sebanyak RM4 juta telah siap dan mula beroperasi.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem pengasingan laluan antara kenderaan Malaysia dan Brunei menyaksikan maklum balas yang diterima mengenaikan kesesakan sempena sambutan Hari Gawai tahun ini telah berkurangan dengan ketara berbanding sebelum ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas kelulusan beberapa projek pembangunan utama yang bakal memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Miri dan kawasan pedalaman utara Sarawak.
Menurut beliau, antaranya ialah projek mendalamkan Kuala Baram yang sedang dilaksanakan bagi membolehkan kapal sehingga 5,000 tan berlabuh terus di Pelabuhan Miri apabila fasa pertama siap kelak.
Jelasnya, fasa kedua projek tersebut akan memanjangkan laluan pelayaran lebih jauh ke laut dan seterusnya membolehkan Pelabuhan Miri berkembang sebagai pelabuhan laut dalam yang mampu merancakkan sektor perdagangan dan pelancongan.
"Apabila kemudahan ini siap sepenuhnya, kapal persiaran antarabangsa berpotensi berlabuh di Miri dan membawa lebih ramai pelancong untuk melawat pelbagai destinasi menarik seperti Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah,” katanya. -EDISI UKAS