TUBAU: Tradisi ngabang atau kunjung-mengunjung sempena sambutan Hari Gawai Dayak terus menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan berkata, program Ngabang Hari Gawai Dayak yang dilaksanakan setiap tahun menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat di kawasan Sungai Asap, Tubau dan Sebauh.
Menurut beliau, budaya kunjung-mengunjung semasa musim perayaan merupakan amalan yang cukup sinonim dalam kalangan rakyat Sarawak dan mencerminkan keharmonian yang terjalin tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.
“Pada setiap sambutan Hari Gawai Dayak, masyarakat dari Sungai Asap akan ngabang ke kawasan Tubau, manakala semasa sambutan Hari Krismas pula, masyarakat dari Tubau akan berkunjung ke Sungai Asap.
“Tradisi ini mencerminkan keunikan masyarakat Sarawak yang sentiasa hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian budaya bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan PBB Cawangan Murum mengadakan kunjungan Hari Gawai Dayak 2026 ke beberapa rumah panjang dan kediaman pemimpin masyarakat di kawasan Tubau dan Sebauh, pada Isnin.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Rumah Tr Rata, Rumah Tr Slan, Rumah Tr Mabong dan Rumah Tr Albert di kawasan Tubau sebelum rombongan meneruskan kunjungan ke kediaman bekas Setiausaha Politik Premier Sarawak, Jenny di Selabit.
Rombongan kemudiannya mengakhiri lawatan di kediaman Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Rundi Utom di Sebauh.
Sepanjang lawatan tersebut, Senator Michael Mujah turut meluangkan masa menyantuni penduduk serta beramah mesra dengan masyarakat setempat selain mendengar pandangan dan perkembangan semasa dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan.
Beliau menjelaskan, program seumpama itu bukan sahaja bertujuan meraikan perayaan, malah menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan persaudaraan, memupuk semangat kebersamaan serta mempererat jaringan kerjasama dalam kalangan masyarakat. -EDISI UKAS