Jambatan Batang Lupar Milik Bersama, Kebersihan Tanggungjawab Semua
KUCHING: Keindahan Jambatan Batang Lupar 1 yang menjadi kebanggaan baharu rakyat Sarawak pastinya mengundang rasa kagum sesiapa sahaja yang melaluinya.
Sejak dibuka kepada pengguna, jambatan ikonik itu bukan sahaja memudahkan perjalanan penduduk, malah turut menjadi lokasi persinggahan orang ramai untuk menikmati pemandangan Sungai Batang Lupar dan merakam kenangan bersama keluarga serta rakan-rakan.
Namun, di sebalik keterujaan menikmati kemudahan baharu itu, masyarakat diingatkan bahawa kebersihan kawasan jambatan perlu sentiasa dipelihara agar keindahan dan keselesaannya dapat dikekalkan.
Sampah yang dibuang merata-rata bukan sahaja menjejaskan pemandangan, malah boleh mencacatkan imej sebuah kemudahan awam yang dibina untuk manfaat rakyat.
Justeru, pengguna diingatkan agar sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat yang sepatutnya serta menjaga kemudahan yang disediakan.
Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 4.844 kilometer yang dibuka kepada pengguna pada 21 Mei lalu merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia.
Dibina dengan kos RM848.7 juta menggunakan dana Kerajaan Sarawak, jambatan itu menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan pesisir negeri ini.
Sebagai mercu tanda baharu Sarawak, Jambatan Batang Lupar 1 bukan sahaja perlu dihargai atas manfaat yang dibawanya, tetapi juga dipelihara bersama agar terus kekal bersih, selesa dan membanggakan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.-EDISI UKAS