‘Peluang Generasi’ Sarawak Perlu Dimanfaatkan Sepenuhnya
KUCHING: Sarawak kini berada pada landasan terbaik untuk melangkah ke tahap pembangunan yang lebih tinggi menerusi apa yang disifatkan sebagai ‘Peluang Generasi’ yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyatnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, peluang yang jarang berlaku itu hadir ketika Sarawak semakin kukuh dari segi ekonomi, hak-haknya terus direalisasikan serta pembangunan negeri berkembang dengan pesat.
Menurut beliau, kejayaan tersebut perlu disokong oleh kestabilan politik dan perpaduan rakyat agar Sarawak mampu terus bergerak maju serta mencapai aspirasi pembangunan jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-42 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pending dan Sambutan Ulang Tahun Ke-67 SUPP di sini, pada Khamis.
Menyentuh pembangunan kawasan Pending, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak mengimbau sejarah pelaksanaan Skim Penempatan Semula yang pernah diterajui oleh mendiang bapanya, yang menurut beliau telah berjaya mengubah kehidupan ramai keluarga berpendapatan rendah.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan harapan agar kawasan Taman Kenyalang dapat kembali menikmati pembangunan yang lebih pesat pada masa hadapan.
Menurutnya, Taman Kenyalang pernah menjadi model pembangunan perumahan kos rendah yang berjaya di Sarawak, namun perkembangan yang agak perlahan sejak beberapa dekad lalu menyebabkan kawasan tersebut semakin ketinggalan berbanding kawasan lain.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat akan terus memberi kepercayaan dan peluang untuk membolehkan usaha pembangunan di kawasan berkenaan dipertingkatkan demi kesejahteraan generasi akan datang. -EDISI UKAS