Hasil Kutipan SST Dijangka Cecah RM5.3 Bilion Tahun Ini
KUCHING: Hasil Cukai Jualan Negeri (SST) Sarawak dijangka mencecah RM5.3 bilion pada tahun ini, sekaligus menjadi bukti nyata kejayaan perjuangan negeri ini dalam menuntut dan melaksanakan hak-hak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, hasil daripada pelaksanaan SST yang suatu ketika dahulu menerima pelbagai tentangan kini muncul sebagai antara sumber pendapatan utama negeri, sekali gus membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kembali kepada rakyat.
Jelasnya, hasil SST Sarawak mencecah RM3.9 bilion pada tahun lalu manakala tahun ini dijangka melebihi RM5.3 bilion.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-42 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pending dan Sambutan Ulang Tahun Ke-67 SUPP, di sini pada Khamis.
Malah jelas beliau, hasil ini akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat melalui pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pembangunan infrastruktur.
Datuk Amar Dr Sim berkata, kejayaan tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan Sarawak dalam memperjuangkan hak-haknya di bawah MA63 termasuk autonomi pendidikan, autonomi kesihatan dan autonomi ekonomi.
Menurut beliau, peningkatan kesedaran mengenai MA63 pada hari ini adalah hasil kerja keras individu yang telah lama menjalankan penyelidikan terhadap dokumen sejarah dan peruntukan perundangan berkaitan, selain berani membawa tuntutan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan. -EDISI UKAS