52 JKKK DUN Simunjan Terima Dana RM156,000 Perkasa Aktiviti Komuniti
SIMUNJAN: Sebanyak 52 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Simunjan menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM156,000 bagi memperkasakan pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti di peringkat kampung.
Setiap JKKK menerima dana sebanyak RM3,000 untuk membantu pelaksanaan program berskala kecil termasuk mesyuarat pengurusan, aktiviti bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) serta program gotong-royong.
Selain itu, Pejabat Daerah Simunjan turut menerima peruntukan khas sebanyak RM20,000 bagi penganjuran Program Niti Daun yang dijadualkan berlangsung pada 13 Jun ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, agihan dana tersebut dilaksanakan secara berfasa mengikut peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Saya memohon maaf atas sedikit kelewatan penyaluran dana ini berikutan jadual program yang agak padat sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu.
“Saya berharap dana yang diterima dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan masyarakat. Bagi penganjuran program yang lebih besar, saya mencadangkan agar ia dilaksanakan secara berkelompok mengikut zon bagi memudahkan penyelarasan peruntukan dan pengurusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Dana Tahunan kepada JKKK DUN Simunjan di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Rodiyah mengingatkan semua penerima agar segera menunaikan cek yang diterima sebelum tarikh luput pada 17 Jun depan.
“Saya mohon semua Ketua Kampung atau wakil JKKK mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan memastikan cek berkenaan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing selewat-lewatnya Isnin atau Selasa depan bagi mengelakkan proses pembaharuan yang lebih rumit serta mengambil masa,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pemimpin masyarakat termasuk Pemanca, Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam memastikan agenda pembangunan di kawasan Simunjan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin akar umbi supaya terus melaksanakan amanah dengan penuh komitmen selaras dengan kenaikan elaun yang dinikmati sejak Januari lalu.
“Ketua Kampung merupakan penghubung utama antara rakyat dan pemimpin. Sebarang isu atau keperluan pembangunan di kampung hendaklah disalurkan melalui saluran yang betul seperti Pejabat Daerah atau kaunselor yang dilantik supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” jelasnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Pegawai Khas kepada ADUN Simunjan, Rafendy Ariffen, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali serta Pemanca Liew Wee Tchiun.-EDISI UKAS