Barat Sarawak Berpotensi Miliki Rizab Minyak Baharu
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg optimis kawasan Barat di negeri ini mempunyai potensi rizab minyak berdasarkan trend geologi pengeluaran minyak di Borneo.
Menurut beliau, pola pengeluaran minyak yang bermula dari Kimanis di Sabah, Brunei Darussalam, Baram, Mukah hingga ke Balingian menunjukkan kemungkinan kewujudan rizab bahan api fosil di kawasan Barat Sarawak termasuk Lundu.
“Dan sekiranya kita pergi turun lagi ke kawasan Barat Sarawak, ianya mesti ada di kawasan tersebut kerana sekarang belum dapat dibuktikan memandangkan tiada pencarian dibuat.
“Bagi saya, sekiranya tiada pihak lain yang mampu berbuat demikian maka Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) boleh menerajui usaha penerokaan untuk mencari minyak di kawasan Barat Sarawak iaitu di Lundu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pelancaran ‘Sarawak Career and Training Fair’ (SCaT Fair) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Sementara itu jelasnya, walaupun usaha penerokaan memerlukan kos yang tinggi, perkembangan teknologi baharu seperti yang digunakan oleh PTTEP di Bintulu diyakini mampu membantu PETROS meneroka lebih banyak rizab minyak dan gas di negeri ini.
“Ini adalah trend secara geologinya dan kita boleh membuat kajian di mana saya meminta PETROS untuk memainkan peranan ini kerana sekiranya pihak lain tidak tampil, PETROS akan lakukannya,” tegas beliau.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi