SMK Saribas Juara Keseluruhan Perarakan Gawai Dayak Betong Empat Kali Berturut-turut
BETONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas sekali lagi mengukuhkan reputasinya apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2026 selepas berjaya menewaskan 31 kontinjen lain yang bertanding.
Kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan, sekali gus mencatat sejarah kejuaraan keseluruhan buat kali keempat berturut-turut.
Perarakan yang menjadi acara kemuncak sambutan Gawai Dayak di Bahagian Betong tahun ini berlangsung meriah dengan penyertaan 32 kontinjen melibatkan seramai 2,192 peserta daripada pelbagai agensi, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah panjang dan komuniti setempat.
Majlis penangguhan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Dewan Panglima Rentap, Betong.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penyertaan pelbagai kaum dalam perarakan tersebut sebagai bukti semangat perpaduan dan kebersamaan yang terus kukuh dalam kalangan masyarakat di Bahagian Betong.
“Saya sungguh kagum dan bangga melihat penyertaan 32 kontinjen yang melibatkan lebih 2,000 peserta pada perarakan pagi tadi. Yang penting, penyertaan ini membawa kepada kebanggaan tanpa mengira bangsa dan menunjukkan perpaduan masyarakat di Betong yang sangat erat,” katanya.
Beliau turut berkata keharmonian yang dinikmati masyarakat Betong hari ini adalah hasil hubungan baik antara pelbagai komuniti yang telah lama hidup bersama serta menyumbang kepada pembangunan kawasan tersebut sejak lebih 100 tahun lalu.
Menurutnya, kewujudan rumah ibadat, sekolah, rumah panjang dan pelbagai institusi berusia lebih satu abad menjadi bukti kepada keunikan landskap sosial Betong yang dibina berasaskan semangat saling menghormati antara kaum dan agama.
Pada masa sama, Datuk Gerald menyeru masyarakat memanfaatkan sambutan Gawai sebagai medium untuk mengeratkan silaturahim serta memperluaskan jaringan persahabatan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, penaja serta rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Bagi keputusan mengikut kategori, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong muncul johan Kategori A melibatkan Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun dan Swasta (Terbuka), diikuti Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong.
Dalam Kategori B melibatkan Ketua Kaum, Rumah Panjang, Kampung, NGO, Pekan dan Pasaraya (Terbuka), Iban Balau Community Club (IBCC) dinobatkan sebagai johan, diikuti Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Sarawak dan Gerempung Tuai Rumah N.36 Layar.
Bagi Kategori C yang melibatkan IPTA, IPTS, MRSM, Kolej Vokasional dan sekolah menengah, SMK Saribas muncul johan, diikuti SMK St Augustine dan SMK Spaoh.
Sementara itu, bagi Kategori D melibatkan sekolah rendah, Tadika Perpaduan dan Tadika KEMAS di Bahagian Betong, SK St Augustine muncul johan, SK Nanga Pasa di tempat kedua dan SK Paku Central di tempat ketiga.
Hadiah bagi setiap kategori berupa wang tunai, sijil dan trofi dengan johan menerima RM3,000, naib johan RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.
Selain itu, SMK Saribas turut memenangi Anugerah Kontinjen Pakaian Terbaik, manakala Pejabat Kesihatan Bahagian Betong menerima Anugerah Persembahan Terbaik dan Gerempung Tuai Rumah N.37 Bukit Saban memenangi Anugerah Penyertaan Teramai (NGO), yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM500.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, ADUN Kalaka Mohammad Duri, ADUN Krian Friday Belik, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong, Pegawai Pertanian Bahagian Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong Leo Toni, Pengurus CENTEXS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perarakan Gawai Bahagian Betong 2026 Dr. Andrew Emperan serta dif-dif jemputan yang lain.-EDISI UKAS