KOTA SAMARAHAN: Seramai 103 asnaf di kawasan DUN Muara Tuang bakal menerima bantuan bakul makanan asas secara berperingkat menerusi penglibatan 47 ranting Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang meliputi tujuh zon di kawasan tersebut.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato' Idris Buang berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf yang berdepan peningkatan kos sara hidup dan tekanan ekonomi semasa.
Menurut beliau, majlis yang diadakan ini merupakan simbolik penyerahan bakul makanan kepada ketua-ketua ranting Wanita PBB bagi membolehkan agihan dilaksanakan terus kepada penerima yang layak di peringkat kampung.
“Pelaksanaan agihan bantuan akan dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu kumpulan pertama melibatkan Petugas Pusat Khidmat DUN Muara Tuang bersama Kumpulan Pembangunan Wanita DUN Muara Tuang, manakala kumpulan kedua terdiri daripada Petugas Pusat Khidmat DUN Muara Tuang bersama Ketua-Ketua Wanita Ranting PBB.
"Ketua Wanita Ranting akan berada di zon masing-masing bagi menyelaras pergerakan dan pengagihan bantuan kepada penerima di setiap kampung mengikut zon yang telah ditetapkan, iaitu Zon Empila, Tanju, Batu Blat, Tuang, Semaran, Ladang Samarahan dan Melaban,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Simbolik Bakul Makanan Asas Program Ziarah Prihatin ADUN N.16 Muara Tuang kepada Ketua-Ketua Ranting Wanita PBB DUN Muara Tuang di Marqas Operasi Pusat Khidmat DUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, pada Sabtu.
Dato' Idris menjelaskan program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak dalam membantu golongan memerlukan, khususnya asnaf dan keluarga berpendapatan rendah.
Katanya, pelaksanaan agihan akan diselaraskan bersama oleh petugas Marqas Operasi Pusat Khidmat DUN Muara Tuang, Kumpulan Pembangunan Wanita DUN Muara Tuang serta Wanita PBB Cawangan Muara Tuang bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima yang benar-benar memerlukan.
Dalam pada itu, beliau berharap tiada golongan asnaf yang tercicir daripada menerima bantuan dan meminta penduduk menyalurkan maklumat kepada Ketua Kaum serta Ketua Masyarakat di kampung masing-masing untuk tindakan lanjut oleh Pusat Khidmat DUN Muara Tuang.
“Sekiranya masih terdapat asnaf yang belum berdaftar atau tercicir, maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat supaya bantuan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan,” ujarnya. -EDISI UKAS