Perarakan Gawai Dayak Betong Himpun Lebih 2,000 Peserta
BETONG: Perarakan Gawai Dayak 2026 Peringkat Bahagian Betong berlangsung meriah dengan penyertaan 32 kontinjen melibatkan seramai 2,192 peserta dari seluruh Bahagian Betong serta kawasan luar.
Perarakan sejauh 1.8 kilometer itu bermula dari Kompleks Sukan Betong dan berakhir di Dewan Panglima Rentap Betong dengan menampilkan pelbagai elemen kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian warisan masyarakat Dayak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, perarakan Gawai Dayak bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, malah berperanan sebagai medium penting dalam memelihara identiti dan warisan budaya masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban di Sarawak.
“Syabas dan terima kasih kepada agensi pengelola, CENTEXS Betong dengan kerjasama Kolej Komuniti Betong dan Politeknik METro Betong Sarawak kerana telah berkerjasama menjayakan program yang amat bermakna ini.
“Dalam kesempatan ini juga, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih atas komitmen tinggi dari semua kontinjen yang telah bertungkus lumus dalam membuat persiapan pada perarakan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi merasmikan perarakan tersebut pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, Datuk Gerald yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar telah menyempurnakan pelepasan perarakan sebelum bersama para tetamu kehormat menyertai perarakan menuju ke lokasi pit stop untuk menyaksikan persembahan kontinjen yang mengambil bahagian.
Menurut pihak penganjur, Perarakan Gawai Dayak 2026 Bahagian Betong bukan sekadar acara hiburan atau persembahan visual, sebaliknya menjadi simbol semangat “mujur mansang segulai sejalai” yang mencerminkan kebersamaan, perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak.
Malah, perarakan yang penuh warna-warni itu turut membuka peluang kepada orang ramai dan pelancong untuk menyaksikan keindahan pakaian tradisional, keunikan muzik etnik serta kehalusan seni tarian warisan yang terus dipelihara hingga kini.
Pada masa sama, program berkenaan turut menjadi platform penting dalam memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai nilai dan estetika budaya agar warisan tersebut terus dipertahankan serta kekal relevan dalam arus pembangunan semasa.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, ADUN Kalaka Mohammad Duri, ADUN Krian Friday Belik, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong, Pegawai Pertanian Bahagian Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong Leo Toni, Pengurus CENTEXS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perarakan Gawai Bahagian Betong 2026 Dr. Andrew Emperan serta dif-dif jemputan yang lain.-EDISI UKAS