SCaT Fair 2026 Perkukuh Akses Pendidikan, Kerjaya & Pembangunan Bakat Anak Sarawak
KUCHING: Sarawak Career and Training Fair (SCaT Fair) 2026 terus memperkukuh peranannya sebagai platform pembangunan bakat apabila menghimpunkan ribuan pelajar, graduan, pencari kerja, institusi pendidikan serta pemain industri bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan, latihan dan kerjaya kepada anak Sarawak.
Edisi ke-14 program tersebut yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
Bertemakan ‘Enhancing Employability’, SCaT Fair 2026 menghimpunkan lebih 130 pempamer terdiri daripada institusi pengajian tinggi, institusi TVET, agensi kerajaan, penyedia latihan dan syarikat industri yang menawarkan pelbagai peluang pendidikan, latihan serta pekerjaan.
Tinjauan UKAS mendapati program tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan pempamer yang melihat SCaT Fair sebagai platform efektif untuk mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan secara terus.
Wakil pempamer daripada Open University Malaysia (OUM), Farid Syazwan, 25, berkata sambutan di reruai OUM amat memberangsangkan dengan ramai pengunjung menunjukkan minat untuk melanjutkan pengajian, khususnya dalam kalangan golongan bekerja.
“Setakat ini booth yang saya jaga menerima banyak maklum balas daripada mereka yang berminat untuk sambung belajar. Menariknya di Sarawak ini, ramai yang masih berminat untuk menyambung pengajian terutama mereka yang sudah bekerja dan mahu meningkatkan kelayakan akademik mereka,” katanya ketika ditemui UKAS.
Menurut beliau, antara program yang mendapat perhatian pengunjung ialah Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI) selain beberapa program lain yang ditawarkan OUM.
“Kami menawarkan pembelajaran yang fleksibel dan secara dalam talian, jadi ia memang sesuai untuk mereka yang bekerja kerana tidak mengganggu waktu kerja,” tambahnya.
Bagi pengunjung, Mohd Yassin, 25, SCaT Fair 2026 memudahkan graduan serta lepasan institusi pengajian tinggi mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan dan pendidikan di satu lokasi.
“Pada pendapat saya, mencari kerja sekarang bukanlah terlalu sukar, tetapi dengan adanya SCaT Fair 2026 ini ia memudahkan pelajar yang tamat pengajian di peringkat diploma atau ijazah untuk mencari pekerjaan ataupun melanjutkan pelajaran. Jadi ini memang program yang sangat baik,” ujarnya.
Beliau berkata persaingan dalam pasaran pekerjaan ketika ini menuntut graduan untuk lebih proaktif, namun program seperti SCaT Fair memberi peluang kepada pencari kerja berhubung secara langsung dengan majikan.
“Sejak program ini diwujudkan, para pencari kerja boleh menghantar resume dan bertanya secara terus kepada syarikat yang menawarkan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, pelajar institusi pengajian tinggi awam, Zahirah, 23, berkata beliau hadir ke SCaT Fair 2026 bagi mendapatkan peluang latihan industri dan pekerjaan yang berkaitan dengan bidang pengajiannya.
“Saya mahu mendapatkan tempat untuk internship kerana saya memang sedang mencari penempatan latihan industri. Saya mencari peluang dalam bidang kewangan atau perniagaan kerana itu berkaitan dengan bidang pengajian saya,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan program tersebut sebagai platform yang membantu pelajar mengenali lebih dekat peluang kerjaya serta keperluan industri semasa.
Graduan baharu, Muhammad Danial, 22, pula berharap penyertaannya dalam SCaT Fair 2026 membuka peluang pekerjaan sebagai juruelektrik.
“Saya datang ke sini sebab mahu mencari kerja sebagai juruelektrik dan saya harap ada berita baik sekiranya temu duga saya berjaya. Setakat ini saya sudah mencuba dua syarikat yang menawarkan kekosongan jawatan sebagai juruelektrik,” katanya.
Menurut beliau, konsep temu duga terbuka sepanjang program turut memberi ruang kepada pencari kerja berinteraksi secara lebih santai dan terus dengan bakal majikan.
“Pada pendapat saya program SCaT Fair ini sangat bagus untuk mereka yang baru habis belajar dan pencari kerja mendapatkan pekerjaan,” tambahnya.
Pada tahun ini, SCaT Fair 2026 menawarkan sebanyak 1,982 kekosongan jawatan menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), melibatkan pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, teknikal serta minyak dan gas.
Selain peluang pendidikan dan kerjaya, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti berteraskan STEM dan inovasi seperti STEM Playground, Sarawak Minecraft Championship, Sarawak Rocketeer Challenge serta TVET Master Competition bagi memupuk minat generasi muda terhadap bidang teknologi dan kemahiran masa depan.
Penganjuran SCaT Fair 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan modal insan sebagai antara pemacu utama aspirasi negeri ke arah mencapai status wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. -EDISI UKAS