i-CATS University College Diiktiraf Universiti Penuh, Perkukuh Landskap Pendidikan Tinggi Sarawak
KUCHING: i-CATS University College kini secara rasmi diiktiraf sebagai universiti penuh selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali gus memperkukuh landskap pendidikan tinggi milik Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah menerima keputusan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi KPT berhubung pengiktirafan tersebut.
Menurut beliau, pencapaian itu merupakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkasakan pendidikan tinggi negeri, selain mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
“Kita (Kerajaan Sarawak) telah menerima keputusan daripada KPT di mana Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menaikkan taraf i-CATS yang telah memenuhi syarat-syarat sebagai universiti penuh.
“Ini sudah tentu akan memberikan suntikan kepada Sarawak kerana kini kita telah mempunyai dua universiti kepunyaan Sarawak termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran ‘Sarawak Career and Training Fair’ (SCaT Fair) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengiktirafan tersebut selari dengan pembangunan kampus baharu universiti berkenaan di Trombol yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk fasiliti pembelajaran dalam bidang aeroangkasa.
Menurut beliau, projek pembangunan kampus tersebut dianggarkan menelan kos kira-kira RM400 juta dan akan dilaksanakan secara berfasa.
“Memang kita membangunkan kampus baharu di Trombol dengan kos lebih kurang RM400 juta, tetapi kita akan membangunkannya secara berfasa termasuk asrama pelajar,” ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak turut memaklumkan bahawa universiti berkenaan telah menjalinkan kerjasama akademik dengan Universiti Teknologi Istanbul, Turki serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) khususnya dalam bidang aeroangkasa.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi