SGH Perkukuh Kedudukan Sarawak Sebagai Hab Penyelidikan Bertaraf Dunia
KUCHING: Hospital Umum Sarawak (SGH) terus mengharumkan nama negeri apabila diiktiraf sebagai hospital penyelidikan terbaik di Malaysia selama empat tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan kemampuan Sarawak muncul sebagai peneraju penyelidikan bertaraf dunia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan bidang kesihatan meskipun berada di tengah-tengah Borneo.
Menurut beliau, SGH bukan sahaja menumpukan kepada penguasaan kepakaran teknikal, malah turut memberi penekanan terhadap budaya penyelidikan dalam kalangan saintis dan profesional kesihatan.
“Selain itu, kita juga menggalakkan saintis serta profesional kesihatan berinteraksi dengan rakan-rakan sejawat dan saling belajar antara satu sama lain.
“Kita bukan sahaja perlu menguasai kepakaran teknikal, malah perlu memainkan peranan dalam bidang penyelidikan.
“Walaupun berada di tengah-tengah hutan Borneo, kita mampu menjadi yang terbaik dalam penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian 2nd International Congress of Advanced, Robotic & Ablation Society of Gynaecologists Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Sabtu.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menambah, SGH turut mencipta sejarah apabila diberikan peluang menjalankan penyelidikan “first-in-human” dalam bidang hematologi dan onkologi pada tahun 2022, sesuatu yang jarang diberikan kepada institusi perubatan di Malaysia sebelum ini.
Jelasnya, ubat yang terlibat dalam kajian berkenaan kemudiannya dipasarkan pada tahun 2024 dengan nilai jualan mencecah USD1 bilion.
Tambah beliau, SGH juga terlibat dalam 50 peratus daripada penemuan 25 ubat onkologi baharu yang dipasarkan di peringkat global pada tahun sebelumnya.
"Kejayaan tersebut dicapai menerusi pendekatan strategi “lautan biru” yang memberi tumpuan kepada penerokaan bidang baharu bernilai tinggi dan kurang diterokai pihak lain.
“Ini kerana kita sentiasa memilih untuk meneroka ‘lautan biru’ dan bukannya bersaing dalam ‘lautan merah’.
“Strategi lautan biru bermaksud melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh orang lain, tetapi mempunyai nilai yang tinggi,” jelasnya.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery