Sarawak Fokus Ekonomi Baharu Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital dan teknologi tinggi sebagai strategi utama meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi transformasi daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi baharu yang lebih berdaya saing, mampan dan berteraskan inovasi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan kerajaan negeri bagi menggerakkan perubahan struktur ekonomi selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Sarawak.
Menurut beliau, usaha tersebut merangkumi pembangunan ekonomi digital, ekonomi berteknologi tinggi serta pemodenan ekonomi secara menyeluruh bagi memastikan Sarawak kekal kompetitif dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
"Kestabilan politik dan ekonomi yang dinikmati Sarawak ketika ini membolehkan kerajaan negeri mengurus sumber kekayaan secara lebih berkesan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menjana manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Malam Kebudayaan dan Pementasan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2026 di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, Sarawak mempunyai hala tuju pembangunan yang jelas menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan pendapatan negeri serta memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat di semua wilayah.
Jelasnya, pendekatan pembangunan tersebut turut menitikberatkan aspek keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau bukan sekadar acara hiburan, malah berperanan sebagai platform penting dalam memelihara serta memartabatkan budaya, adat resam dan warisan masyarakat yang diwarisi sejak turun-temurun.
Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, budaya dan adat resam yang terdapat di Sarawak merupakan aset berharga yang menjadi asas kepada perpaduan serta keharmonian masyarakat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar warisan budaya terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda supaya tidak hilang ditelan arus pemodenan.
Pada masa sama, beliau turut memuji usaha Persatuan Bisaya Sarawak dalam memperkasakan kebudayaan dan kesenian masyarakat selain membantu merancakkan ekonomi tempatan melalui penglibatan usahawan serta pengusaha dalam bidang makanan dan kraf.
Hadir sama isteri Timbalan Premier Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau merangkap Penaung Persatuan Bisaya Sarawak, Dato Paulus Palu Gumbang; Presiden Persatuan Bisaya Sarawak, Datu Joseph Blandoi serta Penasihat Persatuan Bisaya Sarawak, Datu Antonio Kahti Galis.- EDISI UKAS