RMK-13: Rakyat Sarawak Harap Peluang Pekerjaan Diperluas, Ekonomi Terus Diperkukuh
KUCHING: Penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pengukuhan ekonomi tempatan serta pembangunan yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar menjadi antara harapan utama rakyat terhadap pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Sarawak bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Tinjauan UKAS mendapati rakyat berharap RMK-13 mampu meningkatkan taraf hidup, memperkukuh sektor ekonomi negeri serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat.
Ani Dindang berpandangan sektor pertanian perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan antara pemacu ekonomi yang mampu menjana pendapatan mampan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan juga harus meningkatkan serta memberi subsidi untuk penanam-penanam sawit, penanam-penanam getah, penanam-penanam kopi dan segala penanaman padi,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan industri hiliran dan pembinaan lebih banyak kilang berasaskan sumber tempatan turut mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke luar Sarawak.
“Kerajaan harus meningkatkan usaha serta membina kilang-kilang untuk menghasilkan dan membuat produk-produk Sarawak menjadi yang berkualiti supaya peluang pekerjaan ada untuk rakyat-rakyat yang di luar bandar dan di bandar.
“Ini mengelakkan belia Sarawak serta orang-orang Sarawak berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan,” tambahnya.
Sementara itu, Anggau Tambi berharap kerajaan negeri memberi perhatian terhadap penyediaan perumahan mampu milik dan kemudahan asas bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Dalam rancangan RMK-13 Sarawak, yang lebih penting iaitu rumah mampu milik yang kurang dari gaji RM3,000 ke bawah kerana masa ini barang yang diperlukan untuk membina rumah cukup mahal,” katanya.
Beliau turut berharap kemudahan infrastruktur dan fasiliti komuniti terus dipertingkatkan bagi memastikan rakyat dapat menikmati pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Pada masa ini, tak ada kemudahan yang betul-betul mencukupi, iaitu jalan raya di Kampung Sungai Lumbong belum diturap. Saya harap kerajaan boleh memberi kemudahan ini.
“Dan satu lagi iaitu kemudahan tempat beribadat kerana masa ini kami beribadat di tempat rumah panjang, tak ada tempat lain,” ujarnya.
Bagi Sharon Lija pula, pelaksanaan RMK-13 diyakini mampu menarik lebih ramai anak Sarawak untuk bekerja dan menetap di negeri sendiri sekiranya peluang pekerjaan berkualiti serta kemudahan asas terus dipertingkatkan.
“Ya, saya yakin jika perancangan yang dirancang dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti, menawarkan gaji yang kompetitif, serta meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur.
“Ini dapat menggalakkan anak Sarawak untuk bekerja dan menetap di negeri sendiri,” katanya.
Beliau turut berharap peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor strategik seperti teknologi, tenaga, pendidikan dan industri berasaskan sumber tempatan diberikan keutamaan kepada anak Sarawak.
“Saya berharap dapat memberi keutamaan peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi terutama dari segi sektor teknologi, tenaga, pendidikan dan industri berdasarkan sumber tempatan.
“Saya berharap keutamaan ini diberi kepada anak Sarawak supaya mereka dapat menikmati manfaat pembangunan negeri secara langsung,” katanya.
Pelaksanaan RMK-13 Sarawak yang merupakan fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dilihat rakyat sebagai landasan penting untuk memperluas peluang ekonomi, memperkukuh kesejahteraan sosial serta memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif menjelang tahun 2030.-EDISI UKAS