Sarawak Perkukuh Pendidikan Moden & Berorientasikan Masa Depan
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh sistem pendidikan moden menerusi pelaksanaan dasar yang lebih praktikal, progresif dan berorientasikan masa depan bagi melahirkan generasi muda berdaya saing di peringkat global.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pemurnian sistem pendidikan itu dilaksanakan bagi membentuk golongan muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya menjadi inovator dan pemimpin bertaraf dunia.
“Selain kecemerlangan akademik tradisional, kementerian saya terus komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan, memperkukuh pencapaian akademik, serta memperhebat pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan penguasaan Bahasa Inggeris bagi memastikan generasi muda bersedia menghadapi masa depan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa majlis pelancaran ‘Sarawak Career and Training Fair’ (SCaT Fair) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Majlis pelancaran SCaT Fair 2026 berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sementara itu jelasnya, antara langkah yang sedang dipergiatkan termasuk memperluas pembelajaran teknologi secara praktikal menerusi pengagihan kit robotik dan inovasi moden kepada sekolah rendah dan menengah terpilih di setiap daerah di seluruh Sarawak.
“Program pengayaan yang tersusun ini dirangka khusus untuk merapatkan jurang geografi, sekali gus memastikan semua kanak-kanak Sarawak tanpa mengira lokasi mendapat pendedahan awal kepada teknologi maju dan literasi digital,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, pendekatan tersebut telah menyediakan asas kukuh kepada anak muda Sarawak untuk menyerlah di pentas antarabangsa menerusi kejayaan dalam pelbagai kejohanan bertaraf dunia, sekali gus membuktikan keupayaan teknikal dan kreativiti mereka.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Datuk Len Talif Salleh, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi