Dasar Pembangunan Bakat Sarawak Sasar Lahirkan 500,000 Tenaga Kerja Mahir
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan menerusi Dasar Pembangunan Bakat Sarawak yang menyasarkan penghasilan 500,000 tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, satu kajian menyeluruh telah dilaksanakan terhadap dasar berkenaan bagi membangunkan pelan hala tuju ekosistem bakat negeri yang lebih tersusun dan berasaskan data.
“Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) kekal komited dalam mempersiapkan golongan muda untuk mengisi peluang pekerjaan bernilai tinggi ini.
“Melalui kerjasama erat dengan pemain industri, institusi latihan dan agensi awam, kita sedang memadankan bakat muda dengan kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri, di samping memperkukuh bimbingan kerjaya secara signifikan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran ‘Sarawak Career and Training Fair’ (SCaT Fair) 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata program peningkatan kemahiran komuniti turut terus diperluaskan sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta memperkukuh taraf hidup isi rumah.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkemahiran tinggi kini semakin mendapat permintaan dalam pelbagai sektor strategik di Sarawak.
“Daripada industri berat di Samalaju, sektor maritim di Miri dan Sibu, hinggalah kepada sektor berteknologi tinggi, digital dan aeroangkasa di Kuching, majikan kini giat mencari tenaga profesional teknikal untuk mengisi kerjaya yang menawarkan pendapatan lumayan serta jaminan pekerjaan yang kukuh,” jelas beliau lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama kerajaan ketika ini adalah untuk merapatkan jurang antara keperluan industri dengan kesiapsiagaan tenaga kerja demi memastikan kemakmuran jangka panjang Sarawak terus terjamin. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi