Lebih Ramai Penjaga Berkemahiran Diperlukan Menjelang Negara Menua
KUCHING: Keperluan melahirkan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang penjagaan semakin penting ketika Malaysia berdepan peningkatan populasi warga emas dan golongan yang memerlukan penjagaan berterusan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, ramai masih melihat tugas menjaga warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan sebagai tanggungjawab biasa, sedangkan ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran tertentu bagi memastikan penjagaan yang diberikan lebih berkesan.
Beliau berkata, atas sebab itu kementeriannya melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) terus memperluaskan program latihan penjagaan di seluruh negara bagi meningkatkan kemahiran asas dalam kalangan masyarakat.
“Kenapa kita perlu mengadakan latihan ini? Ini kerana kita perlu mempunyai ‘caregiver’ yang sangat berkemahiran untuk menjaga kita, menjaga mak kita, menjaga keluarga kita. Bukan sahaja orang tua tetapi mereka yang tidak berupaya terutama dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya.
“Jadi kita berfikir untuk membantu mereka. Maka kami di Kementerian memang kita mensasarkan supaya kita dapat melahirkan penjaga-penjaga yang profesional dan bertauliah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Institut Sosial Malaysia (ISM) @Komuniti: Menua Sihat Komuniti Sejahtera di Kampung Telaga Air, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Santubong itu memberitahu, sambutan terhadap latihan yang disediakan semakin menggalakkan sejak ia diperkenalkan pada 2023, mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan kemahiran penjagaan.
Beliau mendedahkan, kementeriannya menyasarkan untuk melahirkan seramai 2,000 penjaga profesional tahun ini sebagai usaha memperkukuh sektor berkenaan.
Dalam masa yang sama, Dato Sri Nancy berkata sektor penjagaan turut membuka peluang kerjaya yang semakin luas berikutan permintaan yang meningkat daripada institusi penjagaan dan pusat-pusat berkaitan di seluruh negara.
Menurutnya, banyak institusi swasta kini aktif mencari individu yang berminat untuk menyertai bidang tersebut, termasuk dalam kalangan lepasan sekolah.-EDISI UKAS