RTC Sebangan Berpotensi Jadi Pemacu Ekonomi Luar Bandar
SEBUYAU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sebangan berpotensi menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar menerusi penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, RTC Sebangan mempunyai peranan penting dalam menyokong aktiviti ekonomi komuniti serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk untuk meningkatkan taraf hidup.
“RTC Sebangan mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat tumpuan masyarakat yang dapat menyokong pelbagai aktiviti ekonomi serta memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kawasan Sebangan dan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke RTC Sebangan pada Sabtu, bagi meninjau kemudahan yang disediakan serta menilai potensi pusat berkenaan sebagai hab pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar.
Menurutnya, kemudahan yang tersedia di RTC Sebangan bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah mampu menjadi platform bagi merangsang pertumbuhan aktiviti keusahawanan dan ekonomi setempat.
Dato Sri Julaihi berharap RTC Sebangan dapat terus dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat dan berkembang sebagai pusat pembangunan komuniti yang mampu memperkukuh pertumbuhan sosioekonomi secara mampan dan berterusan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkasakan kawasan luar bandar perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat di kawasan tersebut turut menikmati manfaat pembangunan yang seimbang selaras dengan agenda pembangunan Sarawak.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau turut berinteraksi dengan para peniaga, pengunjung dan penduduk yang menggunakan kemudahan di pusat berkenaan bagi mendapatkan maklum balas mengenai operasi serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Lawatan itu juga memberi peluang kepada beliau untuk melihat sendiri keadaan semasa RTC Sebangan dan mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan kemudahan tersebut terus relevan dengan keperluan masyarakat.-EDISI UKAS